fbpx

Pelajar IPT masuk ke kampus secara berperingkat bermula 1 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kembali semula ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 ke-12 semalam yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, iaitu universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha memastikan kemasukan pelajar itu dilaksanakan dengan selamat, KPT bersama KKM telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi.

“Kemasukan pelajar akan dilaksanakan dengan jumlah kemasukan pelajar adalah 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

“Pelajar dan staf yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus. Namun bagi pelajar dan staf IPT yang tidak divaksinasi lengkap, mereka perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan
seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM.

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia. Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama lima hari.

“IPT mestilah mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat. Pelaksanaan PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian dibenarkan kepada IPT,” katanya.

Tambah kenyataan itu katanya, semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM selain pelajar yang pulang ke kampus juga wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI