SEBESAR penyerahan jiwanya terhadap kesenian, seteguh itu juga nama Sabri Yunus telah bertapak dalam industri seni dan hiburan negara sejak berdekad lampau.
Tidak hanya pelakon dan pelawak, Sabri juga merupakan seorang penerbit, penulis skrip dan pengarah. Atas kecintaan terhadap seni rakyat, hampir semua karya sentuhannya berjaya menarik perhatian dan meninggalkan kesan kepada penonton.
Antaranya, Pak Ya Cong Codei yang mendapat sambutan luar biasa pada 2018, Sanggul Beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Kita Bukan Anjing, Che Pa dan Butak (filem).
Terbaharu, Sabri muncul dengan sebuah naskhah bersiri 12 episod berjudul 4 Abdul 1 Mohd yang telah mula menemui penonton di Astro Ria sejak 24 Januari lalu.
Menariknya dalam drama berkenaan, Sabri tidak hanya bergelar penerbit dan pengarah, tetapi turut melakonkan empat watak yang berbeza iaitu Abdul Jabar, Abdul Somad, Abdul Hakim dan Abdul Wasit.
Bercakap tentang pengalaman memegang empat watak, di samping melakukan kerja pengarahan, lelaki berusia 61 tahun itu mengakui bukan mudah, namun sebagai karyawan seni, Sabri menikmati cabaran tersebut.
“Sangat-sangat sukar. Bukan setakat sukar ketika proses pembikinan, tetapi saya berperang dengan masa. Membikin sebuah drama, saya tidak mempunyai pilihan terutama daripada segi masa berbeza dengan filem.
“Saya perlu mengejar masa dan itulah cabaran terbesar. Memang empat watak tidaklah begitu mencabar, namun mahu mengangkat sebuah nashkah dalam masa singkat bagi saya itu lebih mencabar.
“Sebagai pelakon pula saya cukup seronok kerana dapat mencabar diri dengan empat watak yang berbeza. Setiap watak akan bertutur dalam dialek yang berlainan,” kongsi Sabri.
Ditebak apakah rahsianya mengekalkan momentum lakonan dengan membawa empat watak berbeza serentak, balas Sabri sebagai pelakon dia harus bijak mengawal watak-watak tersebut.
“Saya tidak mempunyai sebarang resepi untuk bertukar menjadi empat watak berbeza. Saya rasa kita sendiri ada batas dan mampu mengawal lakonan.
“Jika faham tentang batas dan pengawalan, tidak akan ada masalah. Dalam drama 4 Abdul 1 Mohd hanya ada seorang Sabri Yunus yang mengawal semuanya,” kata Sabri.
Ditebak tentang kesungguhan dan kesanggupan melakukan kerja gila apabila melakukan hampir semua kerja sendiri, sambil tertawa, lelaki yang kental dialek Kelantan itu ada alasan tersendiri.
Sambil tertawa, Sabri menjelaskan dia bukanlah gila, tetapi terpaksa melaksanakan ‘kerja gila’ tersebut demi menyelesaikan masalah pengkarya seni ketika musim pandemik.
Cabaran
“Ada dua sebab kenapa saya membawakan empat watak serentak. Pertama, saya mencabar diri secara rohani dan kedua adalah secara fizikal.
“Sebabnya, kami menjalani penggambaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya harus jaga prosedur operasi standard (SOP), jadi saya berfikir bagaimana hendak selesaikan masalah ini.
“Dengan syarat-syarat tidak boleh ramai pelakon dan sebagainya, jadi solusinya adalah saya membawa empat watak. Masalah selesai dan 70 peratus penggambaran hanya dilakukan di rumah,” tutur Sabri.
Dalam menghidupkan empat karakter lakonannya, watak Abdul Wasit seorang lelaki lembam paling mencabar.
Selain lidah Sabri yang sudah terbiasa dengan dialek Kelantan, tetapi harus diubah ke dialek Pahang, dia juga harus berfikir seperti lelaki lembam, tetapi dalam masa sama harus berfikir secara pantas di posisi seorang pengarah.
“Abdul Wasit paling mencabar. Saya harus kekalkan watak itu, tetapi dalam masa sama fikiran saya masih bergerak sebagai pengarah dan tiba-tiba menjadi lembam.
“Saya juga menulis skrip di lokasi. Bayangkan saya menulis skrip dan bagi kepada diri sendiri untuk dihafal. Wataknya pula saya harus masukkan dialek orang Pahang.
“Saya bernasib baik kerana kru ramai orang Pahang, jadi boleh dibuat rujukan. Bagi saya watak Abdul Wasit paling sukar dan mengundang simpati ramai,” katanya.
Kejutan
Selain Sabri, drama 4 Abdul 1 Mohd itu turut dibintangi pelakon Budak Kelantan, Asrul Faizal, PU Azman, Brian Chan, Azizul Ammar, Angeline Tan, Saidi Sabri dan Issey Fazlisham.
Menyentuh soal barisan pelakon, selain pelakon pilihan sendiri, satu fakta menarik adalah Sabri turut menggunakan pelakon bidan terjun dalam drama ini.
“Saya gunakan pelakon yang hanya dijumpai di sekeliling saya. Antaranya adalah watak isteri dalam drama ini merupakan seorang pegawai polis.
“Saya tidak membawa pelakon dari agensi sebaliknya terjumpa di lokasi dan terus tawar peluang berlakon. Itulah yang menarik, bagaimana saya hendak berhadapan dengan pelakon yang tidak mempunyai pengalaman lakonan. Saya sendiri terkejut kerana semuanya berjalan dengan lancar,” ucap Sabri lagi.
Sementara itu, Brian Chan yang memegang watak Robin seorang peguam, memberitahu ini adalah pengalaman pertamanya bekerja dengan Sabri.
Paling tidak boleh dilupakan, Brian harus belajar bertutur dialek Kelantan dalam masa singkat.
“Sebenarnya agak mudah walaupun bahasanya berbeza. Saya tidak fasih, tetapi apabila belajar bahasa Kelantan, saya banyak belajar pelbagai jenis perkataan.
“Antara perkataan yang paling menarik perhatian saya ialah ‘naik atah’ dan ‘pahe’. Selalunya, sayalah orang terakhir memahami lawak-lawak yang mereka lontarkan ketika di luar penggambaran.
“Sebab kurang faham, saya terpaksa minta mereka terangkan lawak-lawak tersebut. Apa pun saya sangat seronok dan ini satu pengalaman baru,” ujar Brian.
Buat Issey pula pengalaman menariknya adalah belajar untuk bermain judi. Demi menghayati watak yang diberikan sebagai Abdul Jabar ketika muda, Issey sanggup belajar untuk berjudi.
“Demi memberi lakonan yang realistik, saya terpaksa belajar berjudi. Saya juga belajar dialog-dialog kaki judi. Boleh nampak yang abang Sabri melakukan kajian dengan betul sebelum penggambaran.
“Skrip cukup terperinci bukan asal boleh sahaja.
“Tetapi saya tidaklah berjudi walaupun telah belajar berjudi dalam drama dan lakonan,” tutur Issey.