PETALING JAYA – Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah memilih nama Iskandar Rayyan Yamani untuk cahaya mata kelima yang bakal dilahirkan secara pembedahan pada 22 Februari ini.
Katanya, dia juga memilih tarikh 22.02.2022 yang disifatkan ‘cantik’ seperti dua lagi anak terdahulunya dengan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, walaupun jangkaan bayi lelaki itu dilahirkan pada hujung bulan ini.
“Ikutkan ‘baby’ lahir pada 28 Februari tetapi kami sepakat pilih tarikh cantik seperti kakak dan abangnya, Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10.10.2019, manakala El-Isaac Yamani pula pada 11.11.2020.
“Nama pula Iskandar Rayyan Yamani sebab kalau letak Iskandar Zulkarnain sudah ramai dan biasa, jadi kami pilih Rayyan yang bermaksud pintu syurga.
“Sekarang ini pun saya dan isteri sedang membilang hari menunggu detik kelahirannya. Malah saya pun kena bersedia tolong menjaga bayi dan dua lagi budak kecil yang semakin aktif.
“Kami tiada pembantu, jadi saya kena singsing lengan bantu isteri bancuh susu atau tukar lampin anak,” katanya ketika ditemui pada sidang media A Night To Remember Dato Jamal Abdillah & Zamani.
Mengakui agak tertekan kembali melakukan rutin berjaga malam apatah lagi pada usia yang sudah mencecah 63 tahun, namun Jamal tetap teruja menunggu kehadiran permata hati kelimanya.
Selain Azura dan Isaac, penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu turut dikurniakan dua lagi putera yang sudah meningkat dewasa menerusi dua perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.
“Sebenarnya memang terasa agak ‘stress’ juga nak kembali jaga bayi. Tapi, memandangkan itu anak kita, sebagai ayah kita mestilah sama-sama jaga.
“Lagipun selepas empat pembantu rumah berhenti, urusan di rumah pun saya kena bantu sebab kasihan kepada isteri yang sudah sarat hamil.
“Kami pun masih mencari pembantu baharu memandangkan anak-anak masih kecil. Dalam situasi pandemik sebenarnya susah nak cari pengganti,” kongsinya lagi.
Terdahulu Jamal dan Zai, 27, mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.
Menyentuh mengenai konsert dengan Zamani, katanya mereka kini rancak membuat persediaan menghadapi persembahan yang akan berlangsung di Berjaya Hotel, Kuala Lumpur pada 26 Mac depan.
Selain masih meneliti repertoire persembahan, dia berharap kesihatan mereka juga pada tahap memuaskan bagi memberikan aksi terbaik buat khalayak.
“Kami pernah berkongsi pentas dalam konsert lain dan tentu saja kami inginkan penonton pulang dengan membawa memori indah untuk dikenang,” luah pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd. Ali itu. – K! ONLINE