PETALING JAYA – Petronas bersama syarikat perkapalan utama global, Mitsui O.S.K. Lines. Ltd. (MOL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang dalam pengangkutan karbon dioksida (CO2) cecair bagi rantaian nilai penyimpanan, penggunaan dan penangkapan karbon (CCUS) di rantau Asia Pasifik dan Oceania.
MoU itu ditandatangani secara maya pada Isnin lalu oleh Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MOL, Takeshi Hashimoto.
Adif berkata, Petronas sentiasa meneroka peluang untuk mengurangkan pembebasan karbon dalam operasinya.
“Kerjasama ini penting memandangkan pengangkutan CO2 cecair jarak jauh memainkan peranan penting dalam rantaian nilai CCUS.
“Kami yakin rekod prestasi MOL yang kukuh, ditambah dengan pengambilalihan Larvik Shipping AS oleh MOL yang telah mengangkut CO2 dengan selamat untuk tempoh lebih 30 tahun.
“Ini bakal menempatkan kami sebagai peneraju di rantau ini bagi pengangkutan CO2 cecair jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan.
MOL, bersama Larvik Shipping AS merupakan antara sebilangan kecil syarikat yang berkelayakan untuk mengoperasikan kapal CO2 cecair untuk CO2 gred makanan dan akan menyumbang kepakaran mereka dalam pengangkutan CO2 cecair.
Pengangkutan CO2 cecair menghubungkan tapak CCUS pada jarak jauh, yang mana penggunaan saluran paip tidak berdaya maju dari segi ekonomi.