fbpx

Tapis artis jadi-jadian, utamakan bakat bukan populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iqbal merupakan salah seorang peserta Big Stage musim ketiga yang bermula pada Ahad lalu.
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK tahun lalu, dunia hiburan tanah air seperti dilanda badai ‘tsunami Iqbal’.

Manakan tidak, cerita tentang kehidupannya tidak pernah sepi daripada radar. Pasti ada sahaja perkara yang dilakukannya menarik perhatian umum.

Sepertinya, setiap patah perkataan yang terbit daripada bibirnya pasti akan tular dan lebih teruk ialah menjadi bahan kecaman netizen yang semakin hari semakin ‘liar’ dalam media sosial.

Terbaharu, dia sekali lagi mencetuskan perbalahan dan pertikaian umum apabila terpilih sebagai salah seorang peserta Big Stage musim ketiga yang sudah membuka tirainya pada Ahad lalu.

Kemampuan vokal yang dikatakan tidak sebaris dengan peserta lain antara yang masih dipersoalkan peminat program tersebut.

Mengejar rating. Itu antara komen yang paling banyak dilempar netizen mengenai penyertaan Iqbal.

Namun tidak dinafikan berdirinya dia pada hari ini kerana populariti yang tercetus daripada kontroversi sebelum ini sehingga berani menyahut cabaran melahirkan single meskipun bakatnya tidak sehebat penyanyi baru lain.

Dahulu, gelaran penyanyi hanya layak untuk mereka yang berbakat tetapi kini, semuanya boleh digapai jika mempunyai duit.

Begitulah pandangan pe­nyanyi senior, Ramlah Ram kepada penulis sebelum ini mengenai kehadiran lambakan pendatang baharu yang dikatakan tidak mempunyai aura atau bakat namun masih berjaya meraih populariti yang gah.

Tiada niat mempertikaikan rezeki insan anak seni yang baru mula bertapak tetapi baginya bukan semua individu mampu membawa gelaran penyanyi.

“Sekarang ini, walaupun cover satu lagu atau meletup dengan satu single terus digelar pe­nyanyi.

“Kadang-kadang pelik juga dengan fenomena tersebut sebab terlalu mudah memberi gelaran penyanyi kepada seseorang sedangkan ada yang tiada lagu sendiri pun. Mudah kata, ada duit boleh popular,” katanya.

Katanya, bukan niat menyekat rezeki tetapi pendapatnya itu berniat mahu memastikan industri seni suara tidak dipandang rendah oleh pihak lain di luar sana.

“Saya memandang keperluan mewujudkan sebuah badan penapisan untuk sesiapa yang mempunyai impian bergelar pe­nyanyi.

“Ada suara atau rupa bukan tiket segera tetapi mereka perlu sedar penyanyi merupakan satu pekerjaan sebagai penghibur yang meliputi banyak aspek.

“Jika mental tidak kuat de­ngan kecaman dan semangat hanya hangat-hangat tahi ayam, kuburkan saja impian tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, memetik ke­nyataan komposer terkenal, Ajai baru-baru ini, dia berpendapat elemen content perlu ada dalam sebuah program bagi mengelakkan menjadi suram.

“Kadang-kadang, kita kena fikir yang hari ini, semuanya berpandukan kepada content bagi mengelakkan sesuatu tidak menjadi suram.

“Nama pun dunia hiburan, apabila cakap pasal hiburan, setiap tahun dunia muzik akan alami perubahan seperti fesyen baju.

“Kita tak harapkan nyanyian yang bagus seperti penyanyi zaman dulu kerana sekarang gene­rasi baharu, cara nyanyian sudah berbeza dan setakat itu sahaja yang mereka mampu sampaikan,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI