GEORGE TOWN – Seorang bekas pembantu pegawai khas Exco Pulau Pinang berusia 42 tahun antara tiga individu yang direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu RM80,000 berkaitan sebuah program membabitkan golongan penjaja dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap dua suspek lelaki dan seorang wanita itu dikeluarkan Majistret R. Manomani di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, SPRM menahan enam individu berusia 25 hingga 50 tahun termasuk tiga wanita di pejabat SPRM di sini bagi siasatan berhubung kes itu petang semalam.
Sumber itu berkata, individu terbabit dipercayai mengemukakan butir matan palsu berkaitan pembekalan peralatan melibatkan enam buah syarikat sedangkan program pada 2020 tersebut tidak dilaksanakan.
“Tiga individu yang ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang akan dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.
“Tiga lagi termasuk bekas pembantu pegawai khas Exco dibawa ke Mahkamah Majistret George Town dan dibenar direman empat hari sehingga Sabtu,” kata sumber tersebut hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Lim Bee Kean ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE.