fbpx

Allegri letak standard tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VLAHOVIC (kiri) dan Zakaria berjaya meledak gol pada aksi debut ketika menentang Verona kelmarin. – AFP

TURIN – Ketua Jurulatih Juventus, Max Allegri berpendapat bahawa dua pemain baharunya, Dusan Vlahovic dan Denis Zakaria masih perlu bekerja keras untuk meningkatkan tahap permainan mereka.

Kelmarin, kedua-dua pemain berkenaan melakukan debut sempurna bersama Juventus apabila masing-masing meledak satu gol ketika menewaskan Verona 2-0 pada aksi Serie A.

Kejayaan itu menyaksikan Juventus berjaya melonjakkan kedudukan ke kelompok empat pasukan teratas buat kali pertama musim ini ketika Atalanta tewas 1-2 kepada Cagliari.

“Mereka berjaya melakukan yang terbaik dan bertuah. Ia adalah perlawanan sukar kerana Verona adalah sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras dan memiliki intensiti yang sangat tinggi.

“Amat penting untuk kami kekal fokus, terus berusaha dengan sebaik mungkin kerana musim ini masih lagi panjang. Kami perlu terus ghairah untuk mendapatkan kemenangan bagi mendapatkan kedudukan terbaik pada akhir musim,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persembahan yang dipamerkan oleh Vlahovic dan Zakaria, jurulatih berkenaan mahu pemain itu terus merendah diri dan memilih untuk memberikan kritikan berbanding menghamburkan pujian.

“Sentuhan pertama Vlahovic ketika mendapatkan bola tidak begitu baik dan dia perlu meningkatkan aspek berkenaan. Dia juga perlu lebih yakin untuk memperdayakan pemain pertahanan lawan, selain perlu menguatkan keupayaan kaki kanannya.

“Zakaria pada pandangan saya kurang agresif berbanding Blaise Matuidi, tetapi kelebihan yang dia ada kerana memiliki kaki yang panjang. Dia pemain bijak terutama ketika menghidu peluang di dalam kotak penalti,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN