LOMBOK – Pasukan Ducati Lenovo melancarkan jentera mereka secara rasmi menjelang kempen MotoGP musim ini, sekali gus bertekad untuk mengecapi lebih banyak kejayaan musim 2022 nanti.
Pasukan Itali itu mengekalkan warna tradisi pada jentera Desmosedici GP22 iaitu merah serta hitam buat jentera kedua-dua pelumba terbaiknya, Francesco Bagnaia dan Jack Miller.
Bagnaia mengakui tidak sabar untuk memulakan saingan pada Mac nanti selepas menyifatkan pasukan benar-benar bersedia untuk berjuang membawa gelaran dunia pulang ke Borgo Panigale, Itali.
“Saya gembira untuk permulaan musim baharu ini. Kami telah menamatkan 2021 dengan cemerlang, dan saya berharap mampu lakukan lebih baik pada musim 2022 nanti.
“Pembangunan Ducati sangat luar biasa dan saya yakin kami mampu lakukan sesuatu yang hebat bersama-sama. Desmosedici yang dilancarkan ini sangat baik dan tidak sabar untuk kembali berlumba dengannya.
“Matlamat untuk musim ini adalah seperti biasa, berdaya saing dalam setiap perlumbaan. Kami akan sasar untuk membawa gelaran dunia MotoGP serta gelaran pasukan dan pengeluar kembali ke Borgo Panigale,” kata Bagnaia.
Ducati antara pasukan yang paling kehadapan dalam membangunkan teknologi baharu bermula dengan sistem aerodinamik pada 2015.
Pada 2018, Ducati sekali lagi memperkenalkan peranti holeshot iaitu antara komponen yang dibangunkan untuk melakukan pecutan awal di petak mula.
Terbaharu, pada sesi ujian ‘Shakedown’ di Sepang, Ducati turut memperkenalkan senjata baharu iaitu front ride height device, namun masih belum mendedahkan secara teknikal. – AGENSI