KOTA TINGGI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan tarikh penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiapkan memorandum jemaah menteri bagi permohonohan peruntukan menganjurkan Sukma berkenaan.
Katanya, beliau yakin penganjuran sukan itu masih akan dapat diteruskan pada tahun ini namun senarai akhir acara-acara dipertandingkan belum diputuskan.
“Saya percaya kalau kita terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) tiada acara yang terganggu. Malangnya ia akan terganggu jika orang ramai tidak menjaga SOP dan ada jangkitan.
“Apabila ia berlaku akan merencatkan kemeriahan penganjuran tidak kira hiburan dan sukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU) di Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.
Ahmad Faizal turut memaklumkan, semua fasiliti Sukma Johor yang akan bermula pada 2024 perlu dijaga dan selenggara dengan baik tanpa perlu ditambah baik.
Katanya, ini kerana kemudahan di semua venue itu bertaraf antarabangsa dan mampu digunakan untuk tempoh masa yang lama.
“Saya mohon semua pihak yang betindak sebagai penyelenggara fasiliti supaya jaga dengan baik kerana setiap fasiliti gunakan kantung kerajaan dan wang rakyat yang kita perlu jaga sebaik mungkin,”katanya lagi.
Sukma Johor ke-20 sepatutnya dianjurkan pada 2020 namun ditunda beberapa kali disebabkan pandemik Covid-19 sebelum diputuskan penganjurannya pada tahun 2024.- K! ONLINE