fbpx

Surat Sultan Selangor kepada Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin (kanan) berkenan menerima menghadap Amirudin di Istana Kayangan, Shah Alam berhubung masalah gangguan bekalan air. FOTO - Ihsan Facebook Selangor Royal Office.

SHAH ALAM – Gangguan bekalan air yang disebabkan pencemaran daripada sebuah kilang jentera berat di sini mendapat perhatian daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacitanya apabila masalah itu terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri ini.

Sultan Sharafuddin turut mengutuskan surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung kekhuatiran baginda terhadap tindakan rakyat negeri ini yang akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial sekiranya masalah air ini berterusan.

Antara intipati surat tersebut adalah, Sultan Sharafuddin bertitah mahu tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil bagi memastikan rumah, kilang terutama sekali kilang-kilang haram berhampiran tebing sungai mesti dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak sungai dan sungai-sungai di negeri ini.

“Beta juga tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

“Penubuhan sebuah jawatankuasa oleh kerajaan negeri telah lama dititahkan oleh beta, supaya memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air,” titah baginda menerusi laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mahu undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air.

“Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Amirudin di Istana Bukit Kayangan di sini berhubung masalah bekalan air bersih di Selangor yang terus berulang sebelum mengutuskan surat tersebut kepada Menteri Besar berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI