fbpx

Perkahwinan musnah, Shila Amzah kini ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHILA AMZAH kini bergelar ibu tunggal.

PETALING JAYA – Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Shila Amzah kini sah bercerai dengan suaminya, Haris Idraki Elias di sebuah mahkamah syariah di Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, tiada perincian berhubung jumlah talak yang dijatuhkan hakim terhadap pasangan itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 31, melahirkan rasa syukur selepas urusan perceraiannya bersama bekas suami selesai dan berjalan lancar.

“Alhamdulillah. Kes (perceraian) saya dan bekas suami sudah selesai tadi (Selasa). Kita akan berusaha jaga dan sayangi Seth (anaknya) sampai bila-bila. Terima kasih pada semua yang mendoakan,” tulisnya dalam Instagram.

Menerusi hantaran berbeza, pelantun lagu Patah Seribu itu turut memuat naik sekeping gambar dengan potongan kapsyen yang berbunyi: “Hari yang mendung, semendung hati” yang seolah-olah menggambarkan perasaannya pada hari ini (bercerai).

Dalam InstaStorynya, anak perempuan kepada penyanyi veteran ND Lala itu turut berkongsi video berbaur semangat untuk memberi kekuatan pada diri sendiri.

“Semua orang berkahwin untuk mencari kebahagiaan. Tiada orang di dunia ini berkahwin untuk bercerai dan berpisah. Apa sahaja kemungkinan dan kemudaratan yang berlaku pada diri kita pasti ada hikmahnya.

“Jadi buat yang terbaik untuk bina semula kehidupan. Semoga jadi yang lebih baik,” katanya yang kini berstatus ibu tunggal.

Terdahulu, Shila dilaporkan sudah dua bulan tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya di Cyberjaya dan tinggal di kediaman keluarganya di Hulu Langat, Selangor bersama anaknya.

Shila dan Haris mendirikan rumah tangga pada April 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia setahun. – K! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI