IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Nurul Syahira Zamri, 16, yang sedang dalam perjalanan ke sekolah berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Difahamkan, motosikal jenis Honda SM Sport itu baharu sahaja dibeli bapa mangsa sebulan yang lalu untuk kemudahan mangsa berulang ke sekolahnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa telah melanggar sebelah kanan kereta jenis Perodua Kenari yang sedang buat pusingan U.
“Kemalangan turut melibatkan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melanggar Perodua Kenari selepas itu.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang tercampak dari motosikalnya itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah A. Asmadi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses bedah siasat.
“Pemandu Perodua Kenari yang merupakan seorang wanita berusia 46 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan juga mendapati pemandu wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu dan siasatan lanjut berkaitan kejadian juga masih dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE