fbpx

Kakitangan kerajaan rugi RM586,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang wanita yang merupakan kakitangan kerajaan berputih mata apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM586,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam dalam kejadian di Pasir Mas dua bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)  Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan bahawa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram bernilai RM1.48 juta.

Menurutnya, dalam perbualan telefon itu, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Malaysia Timur.

“Pada masa sama, mangsa kemudian dihubungi oleh beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis termasuk pegawai penyiasat jenayah penggubahan wang haram.

“Selama beberapa hari mereka berhubung bagi tujuan siasatan dan mangsa tidak dibenarkan memaklumkan kepada sesiapa termasuk keluarga atau kenalan kerana ia sulit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ahmad Azizul, suspek yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Inspektor menghantar satu imej waran tangkap ke atas mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menangkap dan membawa mangsa ke IPK tersebut pada hujung Julai lalu.

Katanya, selepas itu, mangsa turut dihubungkan kepada suspek lain yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat asisten superintendan yang sudi membantu menyelesaikan masalah.

“Dalam masa yang sama, suspek memperdayakan mangsa untuk membuat beberapa transaksi pindahan wang sehingga melebihi RM200,000 ke dalam akaun bank peribadi milik pihak ketiga.

“Mangsa juga telah diperdaya suspek untuk membuat tiga pinjaman bank berjumlah RM370,000 dengan tiga institusi perbankan berbeza dalam tempoh 30 hari dengan kesemua pinjaman tersebut diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Azizul berkata, mangsa turut diarahkan untuk menyerahkan butiran perbankan internet berserta nombor TAC bagi ketiga-tiga akaun milik mangsa kepada suspek.

“Mangsa menyedari ditipu setelah berkongsi apa yang telah berlaku dengan ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 6 September lalu selepas rugi RM586,000.

“Penipuan Macau Scam itu merupakan kes yang terbesar dilaporkan setakat ini di Kelantan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI