fbpx

Kes naik selepas bercuti bukan pelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ahad lalu, jangkitan Covid-19 melonjak kepada 10,089 kes berbanding 9,117 kes pada Sabtu, sekali gus menca­tatkan kes harian tertinggi negara sejak 2 Oktober tahun lalu.

Kelmarin, jangkitan naik lagi kepada 11,034 kes dan terus meningkat kepada 13,944 kes semalam, malah kes dijangka bertambah setiap hari sehingga boleh mence­cah 22,000 kes pada akhir Mac ini.

Peningkatan jangkitan virus itu adalah perkara biasa dan sudah dijangka berlaku selepas musim perayaan, tambahan pula melibatkan penularan varian Omicron.

Manakan tidak, pergerakan kenderaan di lebuh raya seluruh negara sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina dilaporkan sebanyak 4.6 juta sehari bermula 28 Januari sehingga 6 Februari lalu.

Seluruh rakyat Malaysia bergerak merentasi sempadan daerah dan negeri untuk pulang ke kampung selain pergi melancong.

Sempena cuti perayaan ini juga, kenduri-kendara dan majlis keraian meriah di mana-mana. Sanak saudara berkumpul beramai-ramai. Setiap minggu ada sahaja majlis perkahwinan diadakan.

Lokasi-lokasi pelancongan popular negara pun sama ‘rancak’ dengan kehadiran pelancong. Penuh gambar-gambar kegembiraan rakyat Malaysia pergi bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan di media sosial.

Maka, tidak hairanlah jangkitan Covid-19 boleh meningkat selepas cuti panjang perayaan ini. Pergerakan berlaku dalam skala yang besar sehingga menyebabkan penularan virus itu lebih meluas.

Mana mungkin lebih 32 juta rakyat Malaysia boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 setiap masa dengan menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

Sedangkan, isyarat lampu merah pun ramai yang langgar biarpun sedar tindakan itu boleh mengundang maut.

Bagaimanapun, ada orang yang menganggap peningkatan jangkitan Covid-19 ketika ini adalah konspirasi untuk menafikan umat Islam menyambut Aidilfitri.

Kata mereka, jika dahulu, tanda-tanda sebelum hari raya adalah kenaikan harga ayam, daging dan sayur serta ketiadaan bekalan minyak masak atau tepung, namun kali ini peningkatan kes Covid-19 pula dijadikan petanda.

Malah, ada juga orang yang mendakwa ini rancangan kerajaan supaya lebih ramai rakyat mengambil dos penggalak. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas yang belum mengambil dos penggalak.

Konspirasi ataupun tidak, Covid-19 itu masih wujud dan kita hidup dengannya, suka atau tidak. Sama ada kita yang menyebarkannya atau kita yang akan dijangkiti.

Namun, selagi katil di wad dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital tidak sarat dengan pesakit Covid-19, selagi itu fasiliti kesihatan tidak terbeban. Majoriti mereka lengkap vaksinasi yang dijangkiti Covid-19 pula berada dalam kategori 1 dan 2.

Anggaplah ia seperti demam selesema atau batuk biasa sahaja, hanya perlu telan ubat dan berehat.

Peningkatan kes Covid-19 ketika ini bukan untuk menjadikan kita panik seperti sebelum ini, sebaliknya lebih waspada dan meningkatkan lagi pematuhan SOP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI