JERANTUT – Kerajaan akan memastikan kenaikan harga dedak tidak akan menyebabkan kenaikan harga ayam melebihi kadar harga siling ditetapkan sekali gus memastikan pengguna tidak terbeban.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan harga ayam stabil meskipun berlaku kenaikan dedak.
“Kita kawal harga ayam dengan menetapkan harga siling RM8.90 melalui skim harga maksimum Keluarga Malaysia (dari 5 Februari hingga Jun depan) yang mana pihak MAFI membekalkan daging ayam import bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.
“Saya difahamkan setakat ini sebanyak 29 permit daging ayam import dikeluarkan oleh pihak MAFI dalam usaha mengimbangkan harga ayam di pasaran,” katanya ketika merasmikan stesen minyak Five Petrol Batu Balai, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, iaitu Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Dr King Lim Chub Fui, Pengerusi Five Petroleum Malaysia, Datuk Juharu Abdul Ghani, Pengarah Seng Group of Companies, Datuk Wong Kam Yong, dan Ketua Cawangan KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad.
Menurut Rosol, kerajaan memandang serius terhadap peniaga yang menaikkan harga melebihi daripada kadar yang ditetapkan sehingga membebankan pengguna.
“Kita akan mengkaji dari sudut pengeluar, pemborong dan pembekal punca sebenar sekiranya berlaku peniaga yang menaikkan harga barangan lebih dari sepatutnya,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur ayam akan pulih menjelang bulan Ramadan tahun ini. -K! ONLINE