PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua calon jurulatih dalam kalangan ‘anak tempatan’ telah disenarai pendek untuk menjadi penolong ketua jurulatih kepada pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah melakukan temu duga baru-baru ini bersama Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dengan hanya dua calon telah melepasi saringan tersebut.
“Dua calon telah disenarai pendek selepas selesai saringan dilakukan menerusi temu duga oleh saya yang mewakili bahagian pentadbiran dan O’Donell bagi aspek teknikal.
“Dua jurulatih ini dikenal pasti menepati kriteria ditetapkan dan dipercayai boleh bekerjasama baik dengan Pan-gon. Namun, segalanya akan diserahkan kepada Pan-gon untuk buat keputusan apabila tiba di Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita semalam.
Saifuddin ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan MAB, Sepang semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin FAM tidak ada masalah untuk ‘menebus kontrak’ sekiranya dua jurulatih terbabit masih memiliki ikatan dengan majikan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Jika mereka masih ada kontrak, kita akan berusaha melakukan rundingan. Apa yang pasti, Pan-gon mahukan pembantu yang boleh membantunya menilai barisan pemain tempatan yang beraksi pada Liga M,” katanya.
Difahamkan, beberapa nama pengendali negara dikaitkan dengan jawatan tersebut seperti ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain; Nidzam Jamil (penolong jurulatih Selangor FC), dan E. Elavarasan (Sarawak United).
Selain itu, pengendali berpengalaman Liga M yang kini bebas daripada sebarang kontrak, Zainal Abidin Hassan dan Mohd. Azraai Khor turut dikaitkan dengan jawatan itu.