fbpx

2 pengedar pil kuda ditahan semasa tunggu pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azmir (tengah) menunjukkan rampasan pil kuda di Wakaf Bharu dan Pasir Pekan di IPD Tumpat hari ini. - FOTO: ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT – Dua lelaki disyaki pengedar dadah jenis pil kuda bernilai RM90,000 ditahan ketika mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan di Wakaf Bharu dan Pasir Pekan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, serbuan pertama dijalankan berhampiran sebuah premis perniagaan di Wakaf Bharu kira-kira pukul 6.50 petang.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan, suspek yang berusia 26 tahun berada dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal dan dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk membeli pil kuda.

“Polis terus menjalankan pemeriksaan pada tubuh badan suspek sebelum menemui sebanyak 1,000 biji pil kuda di dalam genggaman tangannya.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, lelaki itu mengaku mengambil upah sebanyak RM100 untuk mengedar dadah tersebut. Semakan turut mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmir berkata, dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun berhampiran sebuah kedai makan di Pasir Pekan di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada hari yang sama.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam sebuah beg yang dipakai suspek telah membawa kepada penemuan sebanyak 8,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM80,000.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkait jenayah dan narkotik selain pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka dipercayai tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Menurut Mohd. Azmir, dadah-dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek dipercayai akan dijual kepada penagih di daerah ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI