MENJADI seorang artis idola bukan mudah. Apatah lagi pada masa sama, mereka bergelut dengan komitmen pengajian memandangkan kebanyakan daripada mereka menyertai industri K-pop pada usia muda.
Situasi itulah yang dialami anggota kumpulan Fromis_9 iaitu Jiheon yang mengakui sangat sukar menyeimbangkan dua perkara dalam satu masa.
Jiheon yang muncul dalam sesi siaran langsung baru-baru ini berkongsi aktivitinya sedang mengulang kaji selama lima jam 30 minit tanpa henti.
Perkongsian tersebut kemudian menjadi tular dalam internet kerana peminat dapat melihat tekanan dilaluinya sewaktu mengulang kali pelajaran.
“Sebenarnya, saya memang banyak kali terfikir tentang putus asa. Melakukan ini (belajar) dan aktiviti bersama kumpulan pada masa sama sangat-sangat sukar,” katanya ketika ditemu bual majalah Weverse sebelum ini.
Untuk informasi, Jiheon merupakan pelajar di Jeungpyeong Middle School sebelum kemudian berpindah ke School of Performing Arts Seoul pada 2019.