PETALING JAYA – “Bila waktu sukar berlaku, baru kita tahu siapakah kawan yang betul-betul kawan.”
Demikian getus aktres Fasha Sandha selepas melihat pengalaman kuarantin dilalui dua orang anaknya, Putra Rayfal dan Putri Jemyma yang positif Covid-19 baru-baru ini.
Kata pelakon berusia 37 tahun itu, sepanjang anaknya menjalani kuarantin, dia dapat melihat dengan jelas siapa yang tidak peduli dan takut dengan mereka.
“Barulah tahu siapa yang langsung tak peduli, selalu singgah depan rumah tanya khabar. Siapa yang takut dengan kita.
“Lebih mengejutkan, yang rapat itulah yang tak peduli dan takut dengan kita. Tanya khabar pun tak,” tulisnya dalam Instagram.
Semalam, Fasha memuat naik sebuah video memaparkan kedua-dua anaknya itu keluar rumah selepas selesai menjalani kuarantin selama 10 hari.
Dalam video tersebut, Rayfal dan Jemyma teruja dapat bertemu rakan-rakannya yang dari jauh sudah kelihatan berkejaran bagi mendapatkan mereka.
Paling menyentuh hati adalah tindakan salah seorang rakan baik Jemyma yang datang memeluknya untuk melepaskan rindu selepas 10 hari tidak dapat bertemu dan bermain bersama-sama.
Ujar Fasha, dia berterima kasih kepada rakan-rakan anaknya kerana mereka tidak pernah lupa bertanya khabar Rayfal dan Jemyma setiap hari.
“Terima kasih Chanela, Elsa, Erisa dan Nurin. Saya sayang keempat-empat kamu lebih banyak sekarang.
“Setiap hari lalu tanya khabar, tanya bila mereka boleh keluar bermain sama. Tanya sihat ke tak, tersentuh hati ibu,” tulisnya sambil mengakui sebak sehingga menangis selepas melihat babak berpelukan Jemyma dan rakannya.
Dalam pada itu berkongsi keadaan terkini kedua-dua anaknya, Fasha memaklumkan bahawa mereka sudah sihat dan negatif Covid-19.
“Kepada yang bertanya, ya, anak-anak saya kuarantin selepas salah seorang budak dari sekolah positif Covid-19.
“Alhamdulillah, anak-anak saya sihat, negatif dan habis kuarantin. Syukur alhamdulillah,” katanya lagi.
Beberapa hari lalu, pelakon drama Khilaf Asmara itu ada memuat naik hantaran dalam Instagram menunjukkan dia dan keluarganya melakukan ujian calitan PCR di kediaman mereka.
Hasil ujian bagaimanapun menunjukkan keputusan negatif. – K! ONLINE