fbpx

Rozman fail permohonan batal pertuduhan salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar (fail) Rozman ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Peguam itu ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan notis permohonan berserta dengan afidavit sokongan bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

“Mahkamah kemudian telah menetapkan 2 Mac ini untuk pendengaran permohonan tersebut,” katanya.

Ketika prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan-alasan permohonan Rozman yang difailkan melalui Tetuan Law Practice Of Rafique itu ialah, pertuduhan dibawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadap pemohon (Rozman) tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap pemohon dilakukan dengan niat jahat merupakan suatu bentuk penindasan kepada pemohon dan terjumlah kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Rozman, 58, yang juga Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan) mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pada 16 Disember tahun lalu, hakim Rozina telah menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan kes itu dengan pendakwaan akan memanggil 42 saksi.

Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI