KOTA BHARU – Amalan senaman tua menjadi rahsia Timbalan Menteri Besar (MB) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah untuk mengekalkan awet mudanya selain menitik beratkan aspek pemakanan.
Senaman tua merupakan senaman berunsur atau bersendi iaitu berdiri, duduk, baring dan bergerak.
Mohd. Amar, 63, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pachor berkata, melalui senaman, beliau dapat mengekalkan kecergasan sekali gus memudahkan urusanya harian menggalas tanggungjawab sebagai pentadbir negeri ini.
Menurutnya, senaman tua itu mula diamalkan semasa mengalas tanggungjawab sebagai exco kerajaan negeri bagi memastikan beliau kekal sihat dan cergas bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar.
“Setiap kali lepas menunaikan solat saya akan membuat beberapa langkah yang terdapat dalam senaman tua.
“Senaman ini amat sesuai dengan saya kerana dilalukan secara santai. Senaman ini merupakan warisan orang Melayu terdahulu,” katanya semasa ditemui pemberita selepas melakukan senaman itu di Masjid Sembilan Wali, Panchor di sini malam tadi.
Katanya, antara sukatan yang terdapat dalam senaman tua ialah Nafas Melayu, Tapak Sembilan, Jengket, Labuh Luar, Labuh Dalam, Temu Tempurung, Tari Inang, Naga Berlabuh, Duduk Pendekar, Geliat Anak Harimau dan Gulung Ekor Naga. -K! ONLINE