fbpx

Janna bipolar, Dini janji takkan ‘cari lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DINI berjanji akan terus bersama dan menjaga kekasihnya, Janna Nick yang berdepan masalah bipolar dengan sepenuh hati.

PETALING JAYA – Pelakon Dini Schatzmann tiada sebab untuk meninggalkan Janna Nick bersendirian mengharungi masalah bipolar, sebaliknya berjanji terus ikhlas menjaga kekasihnya dengan sepenuh hati.

Katanya, gangguan kesihatan mental yang dilalui insan kesayangannya itu juga ujian untuk mereka mengharungi segala dugaan mendatang bersama-sama.

“Sebenarnya keadaan kesihatan Janna Nick bukan sesuatu yang boleh menghakis cinta saya kepadanya kerana sepanjang dia tahun bercinta, sudah banyak dugaan kami harungi.

“Sebagai kekasih dan antara insan paling rapat, saya akan sentiasa berada di sisi dan memberikan sokongan moral supaya dia terus positif melawan penyakitnya itu.

“Bagi saya ia bukan masalah besar pun atau menganggap dia menyusahkan. Malah saya tak pernah terfikir meninggalkannya semata-mata disebabkan perkara tersebut.

“Semua yang saya lakukan untuk Janna dari sokongan moral sehingga menemaninya bertemu pakar juga saya lakukan dengan ikhlas,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu pada April tahun lalu, aktres berusia 27 tahun itu membuat pendedahan mengejutkan hingga perlu berehat daripada media sosial berikutan masalah bipolar yang dihadapinya.

Gangguan mental yang dialami Janna juga hampir meragut nyawanya apabila dia pernah dua kali membuat cubaan membunuh diri iaitu pada usia 14 dan 15 tahun.

Namun, keadaan kesihatannya semakin terkawal selepas mendapatkan bantuan pakar selain mengambil ubat anti kemurungan secara berjadual.

Mengenai tahap kesihatan Janna kini, Dini memaklumkan kekasihnya yang juga aktres dan pengarah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Sebenarnya kita juga kadangkala berdepan emosi tetapi mampu mengawalnya, berbeza dengan mereka yang berhadapan situasi sama dan memerlukan bantuan ubat.

“Jadi kebiasaannya apabila mood Janna tampak berbeza, saya layankan dan jadi pendengar setia biarpun ada masanya sampai ke tahap dia menangis meluahkan perasaan.

“Kadang kala kita nampak apa yang dirasai itu bukan masalah berat pun, tetapi bagi saya sama ada kecil atau besar ia tetap sesuatu yang penting untuk saya fokus terhadapnya.

“Sekarang saya juga sudah tahu macam mana nak mengendalikan keadaan sekiranya Janna berdepan serangan panik. Apa pun saya perlu sentiasa positif sebab semangat kita juga dapat meredakan suasana,” kata pelakon Marry Me itu.

Akui jejaka berdarah campuran itu lagi, dia turut mengajak kekasih hati lebih mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktif bersukan serta mengambil pemakanan sihat.

“Saya tak mahu dia berdepan stres disebabkan terlampau fokus terhadap kerja. Bagi mengurangkan tekanan, kami sama-sama masuk gimnasium bersenam.

“Pemakanan seimbang, bergiat aktif serta mengamalkan gaya hidup sihat turut membantu meredakan kesihatan mental. Memang nampak perubahan,” kongsinya lagi yang kini bergelar Pengarah Fotografi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI