PUTRAJAYA – Status vaksinasi bagi warga emas yang masih lagi belum mendapatkan suntikan dos penggalak sehingga 1 Mac ini akan dipaparkan sebagai tidak lengkap di dalam sijil digital MySejahtera mereka.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pertukaran status kepada tidak lengkap itu juga akan turut melibatkan kesemua mereka yang telah menerima suntikan vaksin Sinovac sebelum ini.
“Bagi warga emas, status vaksinasi anda akan bertukar menjadi tidak lengkap dan berwarna putih di dalam sijil digital MySejahtera sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac ini.
“Sama juga kepada semua penerima Sinovac tanpa mengira umur. ‘Top up’ (tambah) perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya menerusi satu ciapan pada laman Twitter beliau hari ini.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin semalam menegaskan bahawa rakyat Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.
Jelas beliau, golongan tersebut diminta untuk hadir segera bagi mendapatkan dos penggalak secara ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran sebelum 1 Mac ini.
Setakat ini, rekod menunjukkan terdapat kira-kira 32 peratus atau satu juta warga emas yang masih belum mendapatkan suntikan dos penggalak. – K! ONLINE