fbpx

Potong bekalan elektrik 12 premis judi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Said menunjukkan premis judi haram yang dikenakan dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN –  Sebanyak 12 premis perjudian online yang dikesan beroperasi secara haram sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi bersepadu oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan hasil makluman awam dan risikan yang mendapati pemilik premis masih berdegil dengan menjalankan aktiviti perjudian secara online sejak dua hingga tiga bulan lalu.

“Kita telah kenal pasti 12 premis perniagaan termasuk sebuah rumah dua tingkat yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian online ini.

“Sebagai alternatif, pihak polis telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 21 A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan memotong bekalan elektrik di premis berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu tersebut di sini semalam.

Menurut Mohd. Said, siasatan mendapati  aktiviti perjudian online yang dijalankan lebih mudah dengan pihak sindiket menjadikan ‘tablet’ sebagai alat untuk berjudi berbanding mesin-mesin besar sebelum ini.

“Selain itu, sindiket perjudian turut menyediakan sistem ‘top up’ yang dijual kepada pelanggan untuk berjudi,

“Kemusyikalan kita, masih ada pelanggan (berjudi) dan diharap dengan operasi pemotongan bekalan elektrik ini dapat membanteras sekali gus melumpuhkan aktiviti perjudian secara atas talian di sekitar Seremban,” katanya.

Jelas Mohd. Said, operasi bersepadu pemotongan premis judi online itu melibatkan enam premis di bawah Balai Polis Seremban 2, Balai Polis Campbell (3) dan Balai Polis Rahang (3).

“Di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka, sekiranya pemilik premis mahu membuat penyambungan semula (elektrik), mereka boleh mendapat kebenaran daripada pihak polis dalam tempoh 30 hari dan pengesahan tiada lagi aktiviti perjudian dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis akan melakukan pembanterasan aktiviti perjudian secara berterusan walaupun kegiatan haram tersebut masih terkawal di Seremban selain bantuan masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI