JAKARTA – Sebuah video menjadi tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan insiden seorang wanita ‘menangkap’ suaminya sedang curang bersama kekasih gelapnya di sebuah rumah, lapor portal berita Viva semalam.
Berdasarkan video yang dikongsikan di TikTok, seorang wanita dilihat menyerang suami dan kekasihnya di sebuah rumah sewa di daerah Jakarta Barat.
“Demi sahabat, saya sanggup meredah hujan pada waktu malam, dari timur ke barat (Jakarta) demi mencari suaminya. Akhirnya, ini yang terjadi,” kata rakan kepada wanita berkenaan yang merakam video tersebut.
Suami wanita tersebut dilihat sedang duduk di atas lantai selain terdapat seorang wanita dipercayai kekasih gelapnya duduk di atas tilam dengan hanya memakai baju tidur.
Dalam video yang sama, si isteri kedengaran memarahi suaminya yang hanya terdiam tanpa bersuara.
“Kamu masih suami saya, itu saya sudah uruskan. Namun, saya akan uruskan dia juga,” kata wanita berkenaan sambil merujuk kepada teman wanita suaminya. – AGENSI