KUALA NERUS – “Kami sudah berbelanja besar, tetapi risau jika tidak ramai pelancong yang datang.”
Itu antara keluhan pengusaha-pengusaha resort yang dihimpit dilema dengan perkembangan semasa berkaitan peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Resort Pulau Redang, Lim You Jing berkata, ketika ini mereka sedang dalam persediaan untuk membuka semula operasi selepas berakhirnya musim tengkujuh tidak lama lagi.
“Semua pengusaha resort di rangkaian pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Redang bersepakat untuk kembali beroperasi sepenuhnya mulai 1 Mac ini.
“Kami telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membuat persiapan itu memandang lebih dua tahun tidak dapat melakukan operasi penuh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
You Jing berkata, perkembangan terbaharu yang meramalkan kes positif Covid-19 akan mencecah 22,000 pada akhir bulan depan bagaimanapun sedikit mencetuskan rasa risau mengenai kemungkinan kerajaan mahu menguatkuasakan semula PKP.
Ujarnya, pengusaha resort di pulau peranginan di Terengganu yang terjejas teruk sebelum ini sudah pasti sukar untuk bangkit sekiranya PKP dilaksanakan semula.
Pengurus Besar Cerana Villa Eco Resort Kota Bharu, Khaled Mohd. pula berkata, resort yang dikendalikannya baharu sahaja beroperasi sejak tiga bulan lalu dan banyak menerima kehadiran pelancong domestik.
“Apa yang kami bimbangkan ialah kerajaan mengenakan sekatan pergerakan. Jika perkara ini berlaku, maka kehadiran pengunjung juga akan berkurangan.
“Jika benar kes akan mencapai 22,000 pada bulan depan, tidak mustahil sektor pelancongan akan ditutup semula. Jadi, pendapatan kami sebagai peniaga pastinya akan kembali merudum seperti PKP pada 2020 dan tahun lalu,” katanya.