ORANG kata, kawan ketawa senang dijumpai, kawan menangis sukar dicari.
Mungkin ada kebenaran kata-kata tersebut selepas dilalui sendiri oleh seorang rakan yang kehilangan sahabat baiknya sendiri ekoran dikatakan menikamnya dari belakang dan tidak setia dalam persahabatan atau lebih tepat diistilahkan sebagai ‘kawan makan kawan’.
Bercerita lanjut, dia mengatakan, pada mulanya hubungan mereka baik-baik sahaja dan sering bersama, namun segala-galanya berubah selepas kawannya itu meminta untuk meminjam wang dalam jumlah puluhan ribu ringgit dan berjanji untuk membayar balik dalam tempoh tertentu.
Selepas menerima wang tersebut, sikap kawannya itu mula berubah dan sering menjauhkan diri, selain tidak lagi menjawab panggilan atau mesej di telefon bimbit.
Apa yang membuatkan dia lebih terkilan, kawannya tidak memberikan sebarang alasan atas perubahan yang berlaku, selain sanggup membuat pelbagai tuduhan tidak berasas mengenai dirinya kepada rakan-rakan yang lain.
Biarpun sedih dengan situasi itu, namun dia membuat andaian rakannya itu tidak mahu membayar balik wang yang dipinjam, sebab itu sanggup membuat fitnah ke atas dirinya.
Itulah nilai sebuah persahabatan yang dibina bertahun-tahun yang akhirnya roboh dek kerana nilai wang ringgit yang tidak seberapa dan sanggup meninggalkan kawan sendiri.
Sebab itulah ada orang mengatakan, sesetengah kawan seperti duit syiling, di hadapan kita lain cakapnya, di belakang pula berlainan ceritanya dan jika kita ada kawan seperti ini, ia sememangnya sangat berbahaya.
Hal ini kerana, dia boleh menikam kita dari belakang pada bila-bila masa sahaja.
Sebab itulah Islam mengutamakan orang-orang yang soleh untuk dijadikan sebagai kawan atau sahabat sejati dalam hidup.
Dalam hal ini, Imam Ghazali dalam kitab Hidayatul Salikin menyatakan, jika seseorang itu ingin memilih seseorang yang lain untuk dijadikan sahabat, maka pilihlah dengan beberapa syarat termasuk cantik peribadi dan akhlaknya.
Kita hendaklah menghindarkan diri daripada bersahabat dengan orang yang tidak elok peribadi dan akhlaknya kerana akan mempengaruhi ke arah perilaku tidak baik.
Selain itu, pilih juga orang yang soleh kerana jika berkawan dengan orang fasik, mereka sentiasa melazimi dan mengekalkan dosa besar dan kecil dalam kehidupan harian dan kita pasti terikut-ikut dengan gaya hidup sedemikian.
Ingatlah, hidup kita di dunia saling memerlukan antara satu sama lain.
Tanpa mengira masa senang atau susah, kita amat memerlukan seorang insan bernama kawan, namun perlu berhati-hati memilih kawan, kelak boleh membawa kepada perkara maksiat dan tidak baik, selain menjauhkan diri daripada rahmat Ilahi.
Kita boleh makan berkawan, tetapi jangan sesekali makan kawan.