fbpx

Kes Covid-19 baharu di Hong Kong catat rekod tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG AWAM beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah dataran di pusat bandar Hong Kong semalam. - AFP

HONG KONG – Polisi sifar Covid-19 di Hong Kong ibarat ‘telur di hujung tanduk’ pada Sabtu lepas apabila pihak berkuasa mengumumkan jangkitan baharu tertinggi sekali gus mendorong pihak berkuasa meningkatkan ujian saringan dan memberi amaran, langkah kawalan ketat mungkin diperlukan.

Seperti Tanah Besar China dan kebanyakan rantau Asia Timur lain, Hong Kong melaksanakan strategi memerangi virus Covid-19 menerusi pengesanan kontak, perintah berkurung bersasar dan tempoh kuarantin yang panjang.

Pada Sabtu lalu, Hong Kong merekodkan 351 kes disahkan iaitu angka jangkitan harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 bermula, manakala 161 kes terbabit didapati sama ada tidak dapat dikesan sumbernya atau masih disiasat.

“Berdasarkan peningkatan kes semasa, kami menganggarkan fasiliti kuarantin akan penuh dan tidak dapat menempatkan semua pesakit  tidak lama lagi,” kata ketua kesihatan, Sophia Chan kepada wartawan.

Beliau menggesa penduduk Hong Kong supaya duduk di rumah untuk memperlahankan penyebaran virus Covid-19, namun tambahnya, analisis sisa kumbahan menunjukkan koronavirus ditemui di sebahagian besar bandar raya itu.

Pegawai -pegawai kesihatan berkata, mereka akan melonggarkan peraturan yang menyaksikan beribu-ribu kontak rapat pesakit ditahan di fasiliti-fasiliti kuarantin pemerintah sekali gus membayangkan kumpulan tersebut mungkin dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Langkah itu akan mengosongkan katil-katil di  hospital selain mengambil kira bahawa Omicron yang menjadi varian dominan di pulau itu, menyebabkan simptom yang lebih ringan.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa ‘mengurung’ beribu-ribu penduduk di sebuah kejiranan awam selepas satu kluster superspreader dikesan sekali gus mengundang kritikan orang awam.

Lonjakan kes di Hong Kong itu berlaku pada hari kelima cuti Tahun Baharu Cina yang mana pemerintah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berkumpul bersama keluarga.

Hong Kong merekodkan lebih 15,000 kes Covid-19 yang disahkan bersama 213 kematian. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI