KUANTAN – Seramai 40 kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah di negeri ini mula menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, suntikan yang bermula hari ini menyasarkan kumpulan kanak-kanak komorbid yang layak.
“Pada hari ini seramai 30 kanak-kanak menerima suntikan dos pertama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan manakala 10 lagi menerima suntikan di Hospital Pekan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Menurutnya untuk Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di negeri ini, seramai 28,466 kanak-kanak telah berdaftar dalam aplikasi MySejahtara untuk menerima suntikan berkenaan.
Katanya, jumlah itu melibatkan kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan 197,700 kanak-kanak yang layak menerima suntikan berkenaan. – K! ONLINE