Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Hasrat tiga remaja untuk menikmati air ketum yang baharu dibeli terbantut selepas dicekup polis di Jalan Tanjung Shawal di sini semalam.
Kesemua suspek berusia 18 hingga 19 tahun itu diberkas kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, penahanan mereka dilakukan hasil rondaan cegah jenayah yang mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan disyaki air ketum seberat 0.5 liter berharga RM20,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Nurulhuda, semakan pihaknya mendapati semua remaja itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
Jelas beliau, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. -K!ONLINE