JOHOR BAHRU – Seramai 43 pemandu dikenakan saman kerana memotong barisan dalam satu operasi yang dijalankan polis di Jalan Bakar Batu-Jalan Pantai, di sini petang semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan 28 saman terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan lain.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan bermula pukul 2 petang hingga pukul 5 petang.
“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 90 buah kenderaan dan seramai 129 individu telah diperiksa, dimana polis telah mengeluarkan 43 saman kepada pemandu yang bertindak memotong barisan, selain 28 lagi saman atas pelbagai kesalahan lain.
“Operasi berkenaan dijalankan di kawasan tersebut kerana lokasi terbabit kerap dilaporkan menjadi lokasi pemandu kenderaan memotong barisan khususnya ketika sedang menunggu trafik bergerak.
“Tindakan tersebut adalah satu kesalahan iaitu mana-mana kenderaan yang datang dari arah belakang terus memasuki hadapan barisan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, tindakan saman dikeluarkan mengikut Kaedah 6(1) LN 166/59 kerana kesalahan potong barisan dan juga Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Selain itu, operasi ini juga bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal termasuk penghantar makanan,” tambahnya. – K! ONLINE