fbpx

Mekanik mengaku ambil pil kuda untuk hilangkan tekanan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai AADK (kiri) menyoal siasat seorang mekanik (kanan) selepas dia didapati positif dadah semasa Ops Khas Motosikal 2022 JPJ di Akademi JPJ Wilayah Timur di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu malam tadi.

KOTA BHARU – Seorang mekanik yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal 2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Akademi JPJ Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai di sini malam tadi mengaku mengambil pil kuda selepas mengalami tekanan di tempat kerja.

Lelaki berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, selain tekanan di tempat kerja, dia terpaksa mengambil pil kuda untuk mendapatkan tenaga semasa bekerja selain dapat menahan rasa mengantuk.

“Saya sudah mengambil pil kuda sejak dua tahun lalu. Pada awalnya, saya terpengaruh dengan rakan yang memaklumkan bahawa pil kuda mampu memberi ketenangan selain menghilangkan tekanan.

“Sebagai mekanik, waktu bekerja saya tidak menentu sehingga perlu kerja lebih masa. Kebiasaannya, saya perlu berjaga pada waktu malam untuk menyiapkan kereta pelanggan dan mengalami pelbagai masalah teknikal di bengkel,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Ops Khas Motosikal 2022 JPJ di Akademi JPJ Wilayah Timur di sini malam tadi.

Operasi itu diketuai oleh Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab. Hadi bersama 100 pegawai dan anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia terpaksa mengambil pil kuda yang dibeli daripada seorang rakan pada harga RM10 sebiji untuk mengelakkan rasa mengantuk dan tekanan akibat perlu menyiapkan banyak kereta di bengkel.

Ujarnya, dia berniat untuk berhenti mengambil pil kuda, namun gagal apabila sudah mengalami ketagihan selain keadaan persekitaran di tempat kerja yang memaksa dia untuk terus mengambil dadah tersebut.

Tambahnya, isteri masih belum mengetahui sisi gelapnya itu kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah dan operasi JPJ ini merupakan tangkapan pertama sejak dia terlibat dengan dadah.

Dalam pada itu, Nik Azhan berkata, JPJ mengesan sebanyak 115 notis Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh daripada 332 saman yang dikeluarkan dalam operasi terbabit.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 23 saman tidak mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan selain empat kenderaan disita atas kesalahan LKM tamat tempoh.

“Dua individu didapati positif dadah selepas menjalao ujian saringan air kencing yang dijalankan pihak AADK. Selain itu, 67 individu turut menjalani semakan berkaitan kad pengenalan diri oleh JPN.

“Empat warga asing turut ditahan JIM selepas didapati tidak membawa pasport mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI