GERIK – Seorang pemandu lori maut setelah tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta berhampiran Tasik Banding petang tadi.
Mangsa, Nor Amin Mohamad Ismail, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 4.42 petang.
“Sepasukan 10 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan mendapati nahas membabitkan lori muatan makanan haiwan dan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati lori tersebut dalam keadaan terbalik ke sisi dengan pemandu tersepit di bahagian tempat duduk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kelindan lori dan pemandu serta penumpang kereta telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kehadiran pihak bomba.
“Mayat mangsa dibawa keluar dari lori dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE