SEPANG – Meskipun menggunakan jentera musim lalu, namun pelumba Itali, Enea Bastianini tampil cemerlang dengan memecah rekod sepusingan terpantas pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berakhir petang tadi.
Juara dunia Moto2 2020 tersebut dilihat selesa memecut laju jentera pakej 2021 itu dengan catatan satu minit 58.131 saat (s) sekali gus mengatasi rekod 1’58.303 yang dicatat Fabio Quartararo pada 2019.
“Ini sekadar sesi ujian namun banyak perkara perlu dibaiki terutama ketika mengambil selekoh. Saya gembira dengan jentera 2021 ini kerana lebih mudah untuk ditunggangi.
“Saya harap ujian selepas ini saya mampu perbaiki masalah tersebut dan secara keseluruhan saya gembira kami meraih keputusan positif di Sepang,” kata pelumba Gresini Racing MotoGP tersebut petang tadi.
Sementara itu, Aleix Espargaro (Aprilia Racing) yang tampil cemerlang pada hari pertama semalam mengekalkan momentum terbaiknya dengan perbaiki catatan 1’58.157s untuk berada di kedudukan kedua terpantas.
Manakala, juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) turut mencatat keputusan positif apabila berada kedudukan kelapan terpantas 1’58.332s.
Pasukan WithU Yamaha RNF, Andrea Dovizioso berjaya perbaiki catatan tunggangannya selepas merekodkan satu minit 59.284s berbanding 2’0.342s semalam.
Selepas ini, kesemua pasukan akan berlepas ke Indonesia untuk menghadapi sesi ujian pramusim MotoGP kedua di Litar Mandalika pada 11 hingga 13 Februari sebelum menghadapi perlumbaan sebenar di Grand Prix Qatar (6 Mac). – K! ONLINE