fbpx

Indonesia akhirnya mengaku dilanda gelombang ketiga Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK beratur untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 di Bekasi, 5 Februari lalu. - AFP

JAKARTA – Indonesia akhirnya terpaksa mengakui bahawa gelombang ketiga pandemik Covid-19 telah pun tiba di republik itu, lapor laman berita Kompas, kelmarin.

Hal itu berikutan sebanyak 32,729 kes yang dicatatkan setakat Sabtu dengan Jakarta penyumbang terbanyak.

Terdahulu, pada Jumaat, Indonesia mencatat lonjakan kes sehingga 140,979 disebabkan penularan varian Omicron.

Disebabkan peningkatan ini,Ketua Terpilih Persatuan Doktor Indonesia (PB IDI) Adib Khumaidi mengesahkan bahawa negara itu telah memasuki gelombang ketiga. 

“Kita sebenarnya sudah masuk gelombang ketiga kerana peningkatan progresif dalam kadar positif, yang pada awal semalam adalah pada awalnya 16 peratus, kemudian seminggu meningkat kepada 24 peratus, malah semalam 33 peratus ,” kata Adid.

Namun begitu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi meminta agar semua rakyat untuk kekal tenang dan memaklumkan lonjakan kes ini sudah diramalkan.

“Lonjakan ini adalah terkawal kerana varian Omicron tidak memerlukan rawatan intensif di hospital. Kebanyakan mereka yang positif hanya perlu menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Pesakit yang terdedah kepada varian ini hanya perlu kuarantin kendiri, mengambil ubat dan multivitamin serta segera membuat ujian pengesanan semula selepas 5 hari,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah membuat persiapan yang jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya dan keadaan hospital itu juga didakwa terkawal sehingga kini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI