BENTONG – Selepas hampir dua bulan ladang ternakan ayam di Kampung Lembah Jaya di sini ditutup, suasana di kampung berkenaan yang dahulunya dipenuhi lalat telah kembali normal seperti dua tahun sebelum ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! semalam, tiada lagi jumlah lalat yang luar biasa di kampung itu dan penduduk dapat hidup selesa tanpa ‘dihurung’ lalat.
Seorang penduduk, Atan Zainal, 61, berkata, selepas sahaja ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk itu ditutup, lalat telah beransur-ansur hilang.
“Alhamdulillah kami mengucapkan terima kasih kepada Kosmo! yang melaporkan isu ini yang telah berlarutan selama dua tahun dan akhirnya masalah telah dapat diselesaikan.
“Kalau ada lalat pun hanya seekor dua dan kami berharap keadaan ini berkekalan,” katanya ketika ditemui semalam.
Berita berkaitan: ‘Buka pintu, lalat masuk dalam seluar’
Rainah Tun, 68, pula berkata, dia dan penduduk kini dapat kembali merasai nikmat kehidupan di kampung apabila serangan lalat luar biasa telah berakhir.
“Sekarang kami amat bersyukur kerana dapat tidur dengan lena, makan dengan selesa serta kenduri dapat dilakukan selepas serangan lalat sudah berakhir.
“Kami tak peduli kalau ladang ternakan ayam dibuka semula, tetapi ia mesti dipastikan jaga kebersihan dan tiada lalat,” ujarnya.
Pada 11 Disember tahun lalu, Kosmo! melaporkan nikmat ketenangan tinggal di kampung kini tidak lagi dirasai oleh kira-kira 300 penduduk di Kampung Lembah Jaya gara-gara serangan lalat sejak dua tahun lalu.
Akibat serangan serangga itu, kira-kira 60 buah rumah di kampung yang terletak di Simpang Pelangai itu terpaksa ditutup 24 jam, sekali gus menjadi seperti sebuah perkampungan kosong.
Susulan itu, sebuah ladang ternakan ayam di kampung terbabit diarah dikosongkan serta-merta dan hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas tiada lagi isu lalat dilaporkan.
Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor dilaporkan berkata, pihak Jabatan Veterinar akan membuat pemantauan dan penilaian setiap minggu sebelum ladang berkenaan dibenarkan beroperasi kembali.