SAUDARA PENGARANG,
Sepanjang cuti panjang baru-baru ini, kawasan sungai dan pantai merupakan antara lokasi paling ramai dikunjungi oleh mereka yang ingin mencari kedamaian selain berseronok bersama ahli keluarga.
Selain menjalankan aktiviti mandi-manda, ramai juga ahli keluarga yang mengambil peluang menganjurkan hari keluarga dengan pelbagai aktiviti dilangsungkan.
Bagi yang gemar berkhemah di tepi sungai, antara perkara paling diimpikan adalah mencari ketenangan, lebih-lebih lagi selepas sekian lama terperap di rumah akibat Covid-19.
Namun, impian itu kadang kala tidak tercapai hanya kerana sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.
Bukan setakat menyanyi dan melalak di tengah malam, ada juga yang tergamak memasang pembesar suara sambil berkaraoke sehingga menyusahakan pengunjung lain.
Malah, teguran yang dibuat sering kali dibalas dengan kata-kata cemuhan kononnya menyanyi dan berkaraoke adalah hak masing-masing.
Dalam hal ini, pihak pengurusan perkhemahan perlu membuat garis panduan agar sebarang perbuatan yang boleh menganggu pengunjung lain adalah tidak dibenarkan.
Bukan apa, ramai yang datang berkhemah semata-mata untuk lari daripada kebisingan kota raya dan bukannya untuk mendengar suara orang menyanyi di tengah hutan.
SANG HUTAN
Alor Setar, Kedah