MILAN – Hero AC Milan, Olivier Giroud melaungkan amaran yang kelab itu sudah pun kembali ke landasan tepat selepas mengungguli pertemuan derbi Milan menundukkan pendahulu Serie A, Inter Milan 2-1 awal pagi semalam.
Inter Milan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ivan Perisic, namun babak kedua menjadi detik terbaik buat AC Milan yang memperoleh dua gol menerusi Giroud.
Kedua-dua gol Giroud terhasil hanya dalam tempoh tiga minit bermula pada minit ke-75, namun kekecewaan sedikit menghimpit kejayaan AC Milan apabila seorang lagi bintangnya, Theo Hernandez dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
“Seperti saya katakan sebelum ini, ia adalah perlawanan yang cukup istimewa. Kami sedikit bergelut di babak pertama, namun 45 minit seterusnya, kami berjaya bangkit untuk meraih kemenangan dalam aksi derbi.
“Gol pertama mungkin agak bernasib baik, namun jaringan kedua terhasil menerusi hantaran yang cukup hebat daripada Davide Calabria. Saya gembira dan bangga dengan semangat pasukan yang tidak pernah putus asa,” katanya.
Sementara itu, pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi menjelaskan keputusan itu beri pengajaran paling berguna buat anak buahnya, namun akur situasi ini boleh berlaku dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
“Inilah bola sepak. Kami menguasai permainan, namun tidak cukup tajam setiap kali memperoleh peluang. Mereka (AC Milan) sedikit bernasib baik ketika jaringan pertama, namun gol kedua cukup hebat.
“Kami menguasai sepanjang 60 minit, namun dalam tempoh 25 minit terakhir, kami mula hilang kawalan. Kami tahu ia begitu menyakitkan kerana semua orang tahu pentingnya aksi derbi ini dan kami sebenarnya tidak berhak untuk alami kekalahan,” jelasnya. – AGENSI