SEPANG – Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dilihat gembira dengan prestasinya pada aksi pramusim di Malaysia sekali gus menyifatkankan jentera baharu RS-GP 2022 adalah yang terbaik.
Meskipun tiada revolusi dilakukan pasukan Aprilia, namun Espargaro menyifatkan pembaharuan kecil dilakukan pada jentera RS-GP 2022 memadai membantunya memecut lebih laju terutama di selekoh.
Espargaro mencatat satu minit 58.371 saat (s) kelmarin dan hampir menyamai rekod terpantas di Danilo Petrucci pada 2019 (1’58.239s)
Lebih manis, rakan sepasukannya, Maverick Vinales turut cemerlang apabila merekodkan masa kedua terpantas sesi ujian pertama itu 1’58.384s.
“Bukan revolusi, tahun lalu pasukan telah melakukan perubahan besar dan kami berjuang cukup baik dan menamatkan saingan lapan terbaik dengan meraih 120 mata keseluruhan.
“Tiada perubahan besar perlu dilakukan cuma perlu sedikit penambahbaikkan untuk memastikan jentera 2022 lebih sempurna dan kompetitif dengan pasukan di hadapan.
“Inilah yang kami lakukan dengan jentera 2022 dan rasa lebih baik jika dibandingkan jentera musim lalu,” katanya.
Antara perubahan dilakukan Aprilia adalah membangunkan rangka jentera yang lebih ringkas seperti Moto2 bagi memudahkan pelumbanya mengambil selekoh.
“Ketika mula-mula berada atas jentera, seolah-olah memacu jentera Moto2. Saya akui bukan mudah buat pasukan untuk meletakkan semua alatan elektronik ditengah-tengah jentera.
“Apa pun, ini satu petanda positif bagi pasukan sebelum memulakan saingan pertama untuk perlumbaan musim ini nanti,” ujarnya.