SEPANG – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mengakui tidak cemas dengan prestasinya ketika turun menjalani ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin.
Pelumba Itali tersebut mengakui bukan mudah untuk mencari tunggangan terbaik ketika turun menguji jentera baharu Desmosedici Ducati GP22.
Pada sesi pertama kelmarin, naib juara MotoGP 2021 itu dijangka melakukan kejutan, namun sekadar menghuni tangga ke-19 terpantas dengan rekod dua minit 0.027 saat.
“Pastinya, hari ini seperti hari pertama saya dengan jentera baharu, ia tidak begitu mudah untuk menjinakkannya.
“Pada sesi tersebut, hanya tiga tayar saya gunakan sepanjang 61 pusingan, tetapi tidak mengapa ini adalah sesi ujian dan kami bekerja keras bagi mendapatkan hasil terbaik.
“Bagaimanapun, saya cukup gembira dengan dua sesi terakhir hari ini dan kami boleh memperbaikinya. Saya pasti pasukan akan berusaha untuk melakukannya lebih baik,” kata Bagnaia.
Dalam pada itu, Bagnaia turut mengakui pasukannya satu langkah kehadapan apabila turut menguji beberapa komponen baharu seperti fairing, enjin, ekzos dan sebagainya.
“Semuanya berjalan dengan lancar dan tiada tekanan buat saya kerana semua bermula dari bawah untuk mencari pelarasan terbaik.
“Di sini, jelas kami melakukan satu langkah ke hadapan. Saya yakin ia adalah permulaan terbaik bagi Ducati,” ujarnya.