Jika sebulan dua lalu, kumpulan WhatsApp penulis banyak berkongsikan kemeriahan suasana beriadah, menghadiri kenduri-kendara dan melancong ke sana sini.
Namun dalam dua tiga hari ini, kumpulan WhatsApp kembali berkongsikan statistik kes harian Covid-19 apabila angka mula menunjukkan kadar yang semakin membimbangkan.
Nampaknya ramai mula berasa risau apabila kadar jangkitan semakin melonjak. Apa tidaknya, ketika kita menunggu pandemik bertukar kepada endemik, kes positif pula kembali naik kepada 10,089 pada 6 Februari.
Sebelum itu, kes harian kita telah turun kepada sekitar 3,000 sebelum kembali naik kepada 5,566 (1 Februari), 5,720 (3 Februari) dan 7,234 (4 Februari). Harus diingat kita pernah mencapai angka 24,599 kes pada Ogos tahun lalu.
Walaupun ada pandangan bahawa kita tidak perlu panik, risau dan menggelabah dengan peningkatan kes, namun realitinya setiap orang daripada kita sudah trauma dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai lagi sekatan.
Apatah mereka yang pernah kehilangan orang-orang tersayang dek penangan virus korona yang tidak mengenal darjat dan usia. Mereka pasti masih terbayang-bayang wajah ibu bapa, rakan dan saudara-mara yang kini hanya tinggal kenangan dan kerinduan.
Meskipun penanda aras kebimbangan Covid-19 pada masa kini lebih kepada jumlah kes yang terpaksa dirujuk ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), namun apa yang pasti kelekaan dan kecuaian kita menjadi penyebab kepada penularan semula wabak.
Ketika diberikan peluang beriadah, bercuti, bertemu sanak saudara dan sahabat handai kita jadi alpa bahawa virus korona masih hidup dan sentiasa aktif mencari peluang untuk masuk dan merosakkan paru-paru serta sistem badan kita yang lain.
Keadaan bertambah buruk apabila sebilangan daripada kita terus berdegil enggan menerima vaksin, malah enggan menerima dos penggalak bagi meningkatkan perlindungan badan pada tahap optimum.
Kini, apabila jumlah kes sudah meningkat, kita seakan baru tersedar bahawa akibat kecuaian kita semua, sejumlah besar pelajar terpaksa kembali belajar di rumah. Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia pula bukan sahaja dilanda kerisauan untuk berdepan kertas peperiksaan tetapi ketakutan jika terpaksa dikuarantin atau dijangkiti wabak.
Bukan itu sahaja, keseronokan bercuti panjang sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini pula dikhuatiri menjadi perayaan terakhir untuk balik kampung jika penularan kes menjadi semakin tidak terkawal.
Apalah nasib mak cik Kiah yang sedang bersiap sedia menempah baju raya, mak cik Bedah yang mula menerima tempahan kuih raya dan pak cik Salleh yang berkira-kira mencari buluh untuk memasak lemang menjelang Aidilfitri nanti.
Apa juga nasib perantau yang mencari rezeki jauh dari kampung halaman. Apakah sekali lagi kita tersekat atau disekat? Hanya Allah yang tahu dan di tangan kita mungkin ada jawapannya.