JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menerima perkhabaran negatif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Bersatu Cawangan Molek Harmoni di sini dibubarkan.
Bekas ketua cawangan itu, Mohd. Zahid Ismail, 48, berkata, pembubaran cawangan itu ekoran tindakannya bersama ahli jawatankuasa serta kira-kira 50 yang lain bertindak keluar parti serta-merta.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana pihaknya kecewa dengan tindakan kepimpinan Bersatu peringkat negeri yang ‘membutakan mata’ terhadap mereka.
“Kira-kira dua tahun kami berjuang bersama Bersatu di cawangan ini, tetapi rasa seperti tidak dihargai. Dalam tempoh situasi mencabar akibat pandemik Covid-19 sebelum ini pun tiada sebarang bantuan diberi, sebaliknya kami hanya menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Keputusan ini (keluar parti dan bubar cawangan) dibuat kerana telah hilang kepercayaan terhadap parti dan kepimpinan, sama ada peringkat negeri dan negara,” katanya selepas majlis pembubaran Bersatu Cawangan Molek Harmoni, di sini malam semalam.-K! ONLINE