PETALING JAYA- Misi menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terperangkap di dalam sebuah perigi di Maghribi mendapat sokongan seluruh dunia di mana rata-rata penduduk dari setiap negara mendoakan agar usaha penyelamatan akan berjaya.
Ketika ini, misi penyelamatan kanak-kanak itu dikenali sebagai Rayan yang memasuki hari ketiga dilaporkan berada di fasa terakhir dan mangsa dijangka dikeluarkan pada bila-bila masa.
Menerusi video terkini yang disiarkan secara langsung di Facebook Arab News, usaha menyelamat kanak-kanak itu ditonton lebih 24,000 pengguna media sosial dengan rata-rata mereka terus menitipkan doa agar Rayan kekal selamat.
“Pray for Rayan dari Thailand, semoga kanak-kanak itu selamat dan dapat pulang ke keluarga,” kata Simah Mee.
“Ya Allah, semoga usaha ini diberkati Allah dan Rayan dapat kembali kepada keluarga,” doa Nik Linda Samsudin.
“Sekarang kita doa juga untuk tanah itu kerana difahamkan tebing itu juga boleh runtuh bila-bila masa,” jelas Abdullah Mahyuddin.
Setakat ini, pasukan penyelamat berjaya menyalurkan saluran oksigen dan air kepada mangsa, Rayan. Mereka juga telah mendapat respons daripada kanak-kanak tersebut.
Menurut laporan, insiden itu bermula apabila mangsa dilaporkan hilang ketika bermain.
“Seluruh keluarga keluar untuk mencari Rayan sebelum kami menyedari dia telah jatuh ke dalam perigi. Saya masih menaruh harapan untuk mengeluarkannya hidup-hidup,’’ kata ibu mangsa.
Menurut laporan media tempatan, pasukan perubatan telah bersiap sedia di lokasi kejadian untuk memeriksa keadaan mangsa sebaik sahaja dia diselamatkan.
Pihak berkuasa turut menyediakan helikopter untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital.
Rayan dilaporkan terperangkap sudah empat hari, lapor laman berita Wion News semalam.