PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.
SPRM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan isu tersebut dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari ini (Isnin) dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan bahawa satu siasatan akan dijalankan oleh MARA berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai agensi tersebut.
Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd. Dun bagaimanapun dilaporkan berkata, pihaknya menafikan wujudnya salah guna kuasa atau salah urus tadbir dalam isu berkenaan.- K! ONLINE