KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Demikian gambaran semangat kuat gadis kolum Pesona Ahad pada minggu ini, Nureisya Juita Saidin dalam menggapai cita-cita menjadi usahawan berjaya.
Puteri bongsu kepada pasangan, Saidin Hasim, 63, dan Siti Zabedah Mohamad, 56, ini bukan sahaja sentiasa bersikap positif malah suka berdikari.
Remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mesra disapa Juita ini pernah tular menerusi aplikasi TikTok selepas seorang pelanggan memuat naik video gadis berusia 19 tahun ini sedang berniaga di hadapan rumahnya.
Walaupun masih muda, Juita menyimpan hasrat untuk membuka lapan cawangan perniagaan pau pada tahun ini.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis manis yang kini mengusahakan perniagaan makanan di Tasek Gelugor itu berkongsi mengenai dirinya termasuk impian untuk mengembangkan bisnes pau.
Kosmo! Ahad: Boleh cerita mengenai latar belakang Juita?
Juita: Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik. Biarpun menjadi anak bongsu, saya lebih suka berdikari dan bercita-cita besar dalam mencapai kemahuan. Minat saya dalam bidang perniagaan sangat tinggi. Jadi saya mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kuih pau. Ibu bapa dan adik-beradik juga banyak mendorong dalam bidang ini.
Bagaimana boleh terlibat berniaga makanan pada usia muda?
Minat berniaga timbul sejak saya berusia 10 tahun lagi. Saya mempunyai kelebihan kerana ringan mulut dan tidak kekok berkomunikasi dengan orang ramai termasuk pelanggan.
Pernahkah Juita ditertawa kerana berpanas untuk berniaga berbanding remaja seusia lain yang memilih bidang fesyen dan solekan?
Minda masyarakat kita sekarang lebih terbuka. Alhamdulillah setakat ini tiada lagi kata-kata negatif saya dengar atau baca sejak mempromosikan bisnes pau dalam media sosial sejak empat bulan lalu. Tidak sangka pula mendapat sambutan hangat dan kebanyakan pengikut media sosial menyokong bisnes ini.
Apakah kejayaan atau sasaran yang Juita ingin capai pada tahun ini?
Saya mahu membuka tujuh, lapan atau lebih cawangan bisnes Papapau di seluruh Pulau Pinang. Cuma kadang-kadang saya berdepan kesukaran mendapatkan pekerja kerana mereka lebih berminat untuk bekerja kilang.
Wanita masa kini dilihat semakin berdikari. Pandangan Juita mengenai situasi ini?
Pendapat saya, wanita pada zaman sekarang tidak boleh terlalu bergantung dengan lelaki semata-mata. Wanita mesti berdikari, keperluan dan perbelanjaan diri sendiri adalah untuk kepuasan sendiri. Jika perniagaan yang saya usahakan sekarang dapat membantu menjana ekonomi keluarga ia satu bonus.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Sudah semestinya saya mengimpikan lelaki yang bekerja keras, matang dan mempunyai didikan agama yang secukupnya. -K! ONLINE