SEPANG – Pasukan Aprillia Racing Team memohon maaf kepada Kerajaan Malaysia berikutan tindakan pelumbanya, Aleix Espargaro yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berada pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin.
Pelumba Sepanyol tersebut dikesan melanggar SOP apabila bertindak menjalani latihan berbasikal keluar dari zon yang ditetapkan iaitu dipercayai berhampiran Putrajaya.
Tindakan tersebut menyebabkan timbul reaksi kurang senang dalam kalangan pelumba yang terikat dengan SOP yang ditetapkan iaitu kekal berada dalam zon gelembung sukan di kawasan litar sahaja.
Pengurus pasukan Aprillia, Paolo Bonora kesal dengan tindakan tersebut, namun pihaknya telah memohon maaf dan mengakui anak buahnya itu tiada niat untuk melakukan sebarang masalah.
“Espargaro sudah memohon maaf kepada Kerajaan Malaysia terutama kesalahan dia melanggar SOP. Dia tidak tahu berkenaan SOP yang ditetapkan.
“Justeru, Espargaro membuat permohonan maaf terbuka kepada Kerajaan Malaysia dan menegaskan dia tidak berniat untuk melakukan sebarang masalah di sini.
“Dia tidak tahu bahawa tidak boleh menjalani latihan berbasikal di kawasan tersebut,” ujarnya ketika ditemui sebentar tadi. -K! ONLINE