BANGKOK – Sebuah pusat prasekolah di Thailand melaksanakan peraturan ketat dengan menolak markah peperiksaan kanak-kanak berusia antara tiga hingga lima tahun sekiranya mereka didapati menangis ketika menduduki ujian, lapor laman berita Thaiger semalam.
Tadika yang terletak di Maha Sarakham, dalam wilayah timur laut Thailand itu bertindak menolak tiga markah bagi kanak-kanak yang menangis ketika menduduki ujian kemasukan prasekolah.
Menurut pengarah tadika tersebut, polisi itu diwujudkan bagi memastikan peperiksaan berlangsung secara adil.
Ini kerana apabila ada dalam kalangan kanak-kanak yang menangis, ia akan mengganggu konsentrasi kanak-kanak lain.
Polisi itu dilaporkan telah dipraktikkan di sekolah tersebut selama bertahun-tahun, namun ia kini disemak semula selepas menerima kecaman orang ramai .
Tadika-tadika di Thailand sememangnya mempunyai reputasi melaksanakan peraturan tegas dalam pelbagai perkara, sehingga mencetuskan banyak kritikan. – AGENSI