SEPANG – Pasukan Yamaha mempunyai misi besar menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2022 selepas bertekad untuk membolot semua kemenangan musim ini.
Keyakinan itu hadir selepas pasukan tersebut berjaya meraih gelaran dunia menerusi pelumba berbakatnya, Fabio Quartararo, selain membawa masuk Franco Morbidelli musim ini.
Kedua-dua pelumba tersebut dilihat bersedia untuk menguasai perlumbaan musim 2022 ketika Yamaha dikatakan sudah mempunyai jentera lebih baik berbanding musim lalu.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis menegaskan, pada musim 2022 mereka membawa satu objektif iaitu memburu kemenangan.
“Matlamat kami tahun ini adalah untuk memenangi gelaran dunia sekali lagi dan menjadikan kedua-dua pelumba kami kompetitif sepanjang musim.
“Pada masa sama, kami akan cuba memenangi gelaran pengeluar dan pasukan. Kami tahu ia akan menjadi satu misi yang sukar dalam menghadapi saingan yang sangat sengit daripada semua pasukan.
“Disokong oleh pakar jurutera kami dari Jepun dan Eropah, kami yakin ia bukan satu perkara mustahil untuk melakukannya.
“Justeru, kami bersemangat untuk memulakan ujian bagi mempersiapkan keseluruhan pasukan ini bagi mengharungi musim MotoGP 2022 nanti,” kata Jarvis. – AGENSI