fbpx

Peguam selebriti bersalah kebas duit pelakon lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AVENATTI bergambar bersama Daniels di sebuah kasino di Las Vegas, Nevada pada 26 Januari 2019. - AFP

NEW YORK – Peguam selebriti Amerika Syarikat (AS) yang memalukan, Michael Avenatti didapati bersalah kelmarin kerana mencuri wang AS$300,000 (RM1.25 juta) daripada pelakon filem lucah, Stormy Daniels.

Wang itu adalah bayaran kepada Daniels untuk menulis buku mengenai dakwaan hubungan sulitnya dengan Donald Trump.

Avenatti yang sebelum ini mewakili Daniels dalam tuntutan mahkamah terhadap bekas Presiden itu, didapati bersalah menipu wang dan mencuri identiti anak guamnya susulan perbicaraan di mahkamah persekutuan Manhattan, New York.

Ia adalah sabitan jenayah terbaharu terhadap peguam berusia 50 tahun itu yang didapati bersalah pada Februari 2020 kerana cuba memeras ugut wang berjuta-juta dolar daripada gergasi pakaian sukan, Nike.

Panel terdiri daripada 12 juri di New York bersetuju dengan pendakwa raya bahawa semasa mewakili Daniels, Avenatti juga telah menipu anak guamnya.

Dia menipu ejen penulisan buku tersebut supaya membayar AS$300,000 daripada pendahuluan AS$800,000 (RM3.34 juta) untuk Daniels ke dalam akaun bank yang dikawalnya, tanpa pengetahuan wanita itu.

Avenatti kemudian membelanjakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi dan profesional termasuk tiket kapal terbang, makanan restoran dan sewaan sebuah Ferrari, kata pendakwa raya.

Dia kemudian membayar balik kira-kira separuh wang itu atau AS$150,000 (RM626,925).

Jenayah penipuan dan mencuri identiti membawa kepada penjara maksimum 22 tahun tetapi Avenatti dipercayai akan dikenakan hukuman lebih ringan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun pada musim panas tahun lalu kerana cuba memeras ugut Nike dan juga menghadapi perbicaraan semula dalam satu kes penipuan di California. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI