BEAUFORT – Polis berjaya menghidu kegiatan seorang lelaki yang dipercayai membuat senjata api dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pansong di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 2.30 petang itu, suspek yang berusia 57 tahun diberkas bersama selaras bakakuk serta beberapa peralatan membuat senjata api itu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek mengaku memiliki serta menyimpan bakakuk dan peralatan membuat senjata api di rumahnya.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perintah reman ke atas suspek akan dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960. -K! ONLINE